Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Kemaskini Pada: 18 Dis 2017
Versi 8.0.2c
Skuad LA 24/7 Pelbagaikan Penyampaian Perkhidmatan PBT
Tarikh : 26 Jul 2017  Sumber Berita: http://www.utusanborneo.com.my/2017/07/26/skuad-247-pelbagaikan-penyampaian-perkhidmatan-pbt
 
 Dr Sim mencuba motosikal yang diserahkan kepada  skuad LA Serve MPP. Turut kelihatan (dari kanan) Bakrie, Minos, Ahmad dan Penguang.

TERBAIK: Dr Sim mencuba motosikal yang diserahkan kepada skuad LA Serve MPP. Turut kelihatan (dari kanan) Bakrie, Minos, Ahmad dan Penguang.

KUCHING: Skuad 24/7 atau dikenali LA Serve dilancarkan semalam melibatkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata penubuhan skuad itu merupakan strategi baharu kementerian untuk membantu PBT mempelbagaikan penyampaian perkhidmatan dan  memperkukuhkan kecekapan tenaga kerja.

“Ini merupakan projek perintis melibatkan enam PBT iaitu Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).

“Objektif utama penubuhan skuad ini ialah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PBT di kawasan masing-masing dan seterusnya mengurangkan aduan awam berhubung isu kepada PBT,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad LA Serve di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini semalam.

Dr Sim berkata sebagai barisan hadapan, PBT dikendaki memberi perkhidmatan kecemasan di luar waktu pejabat untuk menyelesaikan isu atau kejadian kecemasan apabila ia berlaku.

Beliau berkata berdasarkan Talikhidmat,  PBT menerima paling banyak aduan berhubung isu yang perlukan perhatian segera PBT.

Menurutnya pada tahun lalu, 9,468 aduan diterima dan isu penyelenggaraan jalan raya merupakan yang tertinggi iaitu 3,254 (26 peratus) diikuti masalah perparitan (2,648), landskap (1,771), kebersihan (908) dan penguatkuasaan (885).

“Ini menunjukkan betapa penting dan relevannya PBT kepada komuniti. Kita seharusnya melayani semua maklum balas secara positif dan apabila ada aduan bermakna komuniti menjangkakan kita dapat menyelesaikan masalah mereka.

“Maka kementerian merancang memperluaskan LA Serve ke sembilan lagi PBT iaitu semua PBT di peringkat bahagian dan dua majlis daerah iaitu Kanowit dan Bau tahun depan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Bakrie Zaini dalam ucapan aluannya berkata LA Serve merupakan sistem rondaan PBT berjadual mengesan masalah di lapangan.

Skuad itu katanya, dilengkapi alat dan perkakas untuk menjalankan kerja penyelenggaraan supaya masalah dapat diselesaikan segera.

“Modus operandi mengkehendaki setiap zon dilawati sekurang-kurangnya sekali sebulan dan perkara perlu diambil perhatian adalah berpandukan senarai semak dalam prosedur operasi standard disediakan,” jelasnya.

Bakrie berkata untuk tempoh 10 bulan dalam setahun, skuad itu akan bertugas pada waktu kerja normal, pada sebelah malam dan hujung minggu, bersiap sedia atau ‘on-call’ secara bergilir-gilir.

Baki dua bulan lagi katanya, terutama semasa musim tengkujuh atau kemarau skuad itu akan beropeasi secara ‘on-shif’, 24 jam termasuk hujung minggu.

“Kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM1.8 juta untuk projek perintis ini bagi membeli 10 unit motosikal dan enam unit Hilux berserta alat-alat,  jentera menjalankan tugas, latihan serta gaji termasuk elaun skuad.

“MPP akan mendapat dua unit Hilux kerana kawasan seliaannya yang luas.

“BDA tidak dibekalkan dengan kenderaan kerana ia mempunyai kemampuan membeli sendiri tetapi bantuan RM50,000 akan diberikan untuk membeli perkakas dan alat penghubung,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Pengerusi MPS Datuk Peter Minos dan Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim.